LINGUISTIK ADA PELBAGAI GUNA -BERITA HARIAN

Linguistik ada pelbagai guna
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2012/04/19

Kajiannya boleh membabitkan bidang keagamaan dan forensik
UMUM melihat disiplin linguistik bersifat kaku dan terkongkong dalam kerangka teoritikal seperti kognitif, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik sehingga menganggapnya terpisah daripada kehidupan sosiobudaya dan sosiopolitik mereka.

Bagaimanapun linguistik sebagai ilmu yang mengkaji bahasa manusia sudah tentu tidak terhad kepada kajian bentuk bahasa, sebaliknya diguna pakai dalam semua disiplin ilmu dan gerak kehidupan baik dalam konteks agama atau sains dan teknologi.


Usaha pemerolehan dan pendokumentasian pelbagai dialek Melayu penting diusahakan kerana kekayaan yang ada pada sesuatu dialek itu menjadi sumber kajian linguistik sejarawi dan penyusunan kamus Melayu. - Prof Madya Dr Raja Masittah Raja Ariffin, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM)

Transformasi pemahaman umum inilah yang menjadi agenda utama pada Persidangan Antarabangsa Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2012 (PALING@UKM 2012) di Puri Pujangga, UKM, Bangi, baru-baru ini.

Tidak hairanlah Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Munif Zarirruddin Fikri Nordin, menganggap matlamat terunggul dalam transformasi kajian linguistik adalah membawa manusia mengenal Tuhan dan patuh kepada segala ajaran-Nya.

“Kegagalan linguistik yang menghubungkan manusia dengan Tuhan akan menyebabkan linguistik menjadi ilmu yang ‘tawar’ dan ‘kering’ sehingga menjadikannya disiplin yang hanya dipedulikan ahli linguistik.

“Dalam jangka masa yang panjang pula, linguistik boleh menjadi bidang yang bermasalah akibat kehilangan berkat dan rahmat,” katanya ketika membincangkan Agama Dalam Transformasi Kajian Linguistik: Satu Tinjauan Epistemologi Islam. 
Munif Zarirruddin melihat kepentingan ilmu linguistik tidak boleh terpisah daripada agama kerana ilmu itu mengalami pelbagai transformasi sepanjang sejarah perkembangannya hasil daripada perubahan falsafah dan aliran pemikiran semasa.

“Dalam garis masa sejarah, ada pelbagai falsafah dan aliran linguistik seperti Yunani Kuno, Plato, Aristotle dan Stoik, struktural, empirisisme, rasionalisme, linguistik London dan Transformasi Generatif yang memiliki matlamat masing-masing.

“Sebagai contoh, linguistik Transformasi Generatif yang dibawa oleh Chomsky meletakkan matlamat bahawa bahasa manusia bukan semata-mata untuk tujuan komunikasi, sebaliknya alat untuk menyatakan fikiran dengan bebas dan bertindak balas melalui bahasa dalam situasi baru,” katanya.

Apatah lagi, Munif Zarirruddin berkata, kedatangan Islam ke gugusan kepulauan Melayu juga menunjukkan agama mempunyai kaitan rapat dengan bidang linguistik.

“Ini kerana peluasan dan pengembangan Islam di seluruh pelosok dunia termasuk di Alam Melayu memperkasakan lagi linguistik masyarakat tempatan.

“Di alam Melayu sebagai contoh, pengaruh linguistik Arab membentuk epistemologi kosa kata yang sangat mantap, di samping pengekalan pengaruh linguistik Sanskrit melalui Hinduisme dan Buddhisme yang selaras dengan Islam,” katanya.

Beliau menegaskan pengaruh Islam bukan sekadar pengaruh mekanisme bahasa yang membabitkan kosa kata, tatabahasa, sintaksis dan morfologi, bahkan menjangkau pengaruh dinamika bahasa, iaitu dari segi fungsi dan matlamat bahasa.

Dalam bidang forensik pula, Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Dr Azirah Hashim, berkata bidang linguistik forensik di negara ini belum digunakan secara meluas, sekali gus memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk memajukannya.

“Kita memerlukan kerjasama antara mereka yang terbabit dalam bidang perundangan dan kepolisan untuk memanfaatkan bidang linguistik, selain latihan kepada ahli akademik dan latihan profesional kepada hakim, peguam serta penterjemah.

“Ini kerana perjalanan linguistik forensik masih panjang dalam negara ini khususnya dalam meyakinkan mahkamah terhadap kebolehgantungan dan keabsahan terhadap metodologinya,” katanya ketika membentangkan Linguistik Forensik dan Prospeknya di Malaysia.

Prof Azirah berkata, aplikasi linguistik dalam forensik dapat membantu mahkamah merungkaikan persoalan yang dimaksudkan dalam teks dan identiti pengarang.

“Malah, linguistik forensik juga boleh digunakan dalam kes penyiasatan peribadi seperti mengenal pasti penulis surat layang atau kegiatan plagiat khususnya dalam lingkungan sekolah dan universiti termasuk mewakili pelajar yang dituduh melakukannya,” katanya.

Meskipun tumpuan kajian linguistik perlu diberikan dalam kehidupan manusia, penyelidikan dalam kerangka sistem bahasa tidak boleh diremehkan seperti yang diisyaratkan Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Raja Masittah Raja Ariffin.

Dr Raja Masittah berkata, kepelbagaian dialek Melayu di negara ini wajar dipelihara dan didokumentasi supaya tidak tenggelam dalam arus urbanisasi dan globalisasi sehingga pupus apabila tidak ada lagi penutur dialek berkenaan.

“Usaha pemerolehan dan pendokumentasian pelbagai dialek Melayu penting diusahakan kerana kekayaan yang ada pada sesuatu dialek itu menjadi sumber kajian linguistik sejarawi dan penyusunan kamus Melayu,” katanya dalam kertas kerja Dialek Utara Sebagai Nilai Tambah Dalam Kamus Idris Al-Marbawi yang disediakan secara bersama Dr Che Radiah Mezah.

Justeru, sarjana dan ahli linguistik wajar mengambil kira ingatan daripada Pensyarah UKM, Prof Dr Idris Aman yang menegaskan linguistik berada pada landasan yang tepat dalam memahami dan mendekati kehidupan sebenar manusia melalui bahasa atau wacana.

“Pastinya linguistik perlu diteliti tidak hanya dalam kerangka abstrak-teoritikal untuk sistem atau struktur bahasa intrinsik, sebaliknya dalam konteks proses sosial dan elemen praktikal.

“Gambaran dan penjelasan terhadap bahasa serta wacana yang menggunakan aspek fungsional dalam kehidupan sosial manusia akan menjadikan disiplin linguistik lebih bermakna dan diperlukan,” katanya ketika membentangkan ucap tamanya, Wacana dalam Kehidupan Sosial: Dari Dunia Bahasa ke Dunia Sebenar Linguistik.

Persidangan anjuran Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik UKM itu, turut menampilkan pembentangan oleh Pensyarah Universiti Sharjah, Emiriah Arab Bersatu, Prof Dr Abdul-Fattah Abu-Ssaydeh dan Pensyarah Universiti Politeknik Hong Kong, Maggie Leung, selain pembentang dari negara ini dan Indonesia.

0 comments: