Sebab-sebab Untuk Menurunkan Berat Badan- Versi MAIA

Rasanya dah berapa banyak kali bercerita tentang nak menurunkan berat badan, tapi masih jugaklah di tahap membimbangkan. Bukan tak usaha, dah usaha tapi nampaknya belum berhasil. Ada je halangan dan cabaran yang mendatang. Dulu-dulu masa badan masih belum membiak macam la ni, dok rasa pelik kenapalah mereka yang bersaiz L, XL dan ke atas ni selalu mengeluh betapa susahnya nak menurunkan berat badan. Masa tu, kata hati saya "tak cukup usaha la tu, kurangkan je makan, lebihkan senaman". Bercakap senang la kak oi, bila dah kena kat tubuh badan sendiri baru tau lemak tu degil ke tak degil. hahaha.

Ok, sekadar untuk coretan peribadi, saya nak senaraikan SEBAB-SEBAB KENAPA SAYA NAK TURUNKAN BERAT BADAN:

1) Body Mass Index (BMI) sudah melebih tahap ideal, sudah masuk kategori lebih berat badan. Macam mana nak kira BMI? Caranya, Berat (kg) / Tinggi (meter) X Tinggi (meter). Takpun terjah je la kat mana-mana website yang menyediakan kalkulator untuk kira BMI ni, contohnya macam di http://www.halls.md/body-mass-index/bmi.htm Berat saya nampaknya naik secara perlahan tapi tegar. Tu yang risau tu, mungkin metabolisme saya dah rendah.


2) Saya mahukan badan yang lebih sihat dan cergas. Kebelakangan ni, saya kerap sangat sakit. Macam-macam jenis sakit, yang biasanya sakit tekak, demam dan selsema. Lepas tu sakit-sakit badan, sakit urat, sakit kepala dan sebagainya. Nampak sangat imuniti badan saya terhadap penyakit dah semakin lemah. Saya andaikan sekiranya saya nak kurangkan berat badan ni, maka saya kena kurangkan  pengambilan makanan yang tidak berkhasiat atau makan berlebihan, dan lebihkan aktiviti kecergasan. Dengan cara tu, badan saya juga akan bertambah sihat. Setelah saya kurangkan berat badan pula, saya harap anggota saya tidak menanggung beban membawa badan yang sudah terlebih berat ni. Jadi kuranglah sengal-sengal dan sakit-sakit urat saya tu. Saya juga nakkan kesihatan yang berpanjangan, dan harap sangat tidak menghidapi penyakit tidak berjangkit yang biasa dihadapi oleh rakyat Malaysia iaitu kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi.


3) Badan yang sihat menjamin  akal yang cerdas. Saya ni student, yang masih perlu menghabiskan pengajian dalam tempoh berbaki yang dah tak lama lagi. Kalau pun saya bukan student, saya tetap mahukan akal yang cerdas. Pemakanan yang sihat, gaya hidup yang aktif membawa kesan yang baik kepada pemikiran dan emosi kita.

4) Saya mahukan penampilan yang menarik. Suami saya tak pernah kata saya tak cantik kerana lebih berat badan, tapi dia dah banyak kali bagi hint supaya cukup-cukuplah menternak badan. hehe. Saya teringin nak mennggayakan semula blouse lama yang masih saya simpan, tapi nak buat macam mana, dah tak boleh nak kancing butangnya.hihi. Saya juga sangatlah rasa pening dan susah hati bila semua koleksi seluar saya dah sendat, tak muat nak zip, tak muat nak kancing, ataupun kalau berjaya butangkan pun...bila nak rukuk dan sujud rasa nak tersembul biji mata sebab perut terhimpit.huhu. Seksanya. Nak beli seluar baru? Selain kena keluarkan duit lagi, masalahnya bukan senang nak dapat seluar saiz yang sesuai. Mungkin tang pinggang ok, tapi tang peha tak muat. Apa kes? Pengalaman shopping masa YES baru ni dah buat saya serik, berapa kali cuba seluar tak muat-muat juga sampai saya fed up. Pakai baju kurung je la senangggggg!

5) Kena kurangkan berat badan sebab nak mengandung lagi. Yeehaaa...ini walaupun impian untuk masa depan tapi tetap kena mulakan sekarang. Masa saya mengandung anak pertama, berat saya 50kg. Sepanjang mengandung tu naik sampai 20kg, tak dapat nak dibendung kenaikannya yang mencanak-canak. Lepas bersalin, turun 10 kg. Rasa macam lega la, nanti dalam tempoh pantang mesti boleh turun lagi kan. Iye, memang la turun lagi tapi tak sampai ke berat asal pun. Kemudian menyusukan anak selama 2 tahun, berat tu dok takuk tu la, nak diet risau susu drop, tapi berat pun tak naik sebab anak masih menyusu. Sebaik habis je tempoh penyusuan tu....apa lagi berat pun makin naik, makin naik, makin naik sampai la ke hari ni. Tak naik mendadak tapi tetap naik. Nak turun punye la payah. Jadi, kalau ada cita-cita nak mengandung lagi, saya kenalah turun setidak-tidaknya sama dengan berat asal dulu. Lagi bagus kalau dapat kalau  dapat kurang daripada 50kg tu, jadi bila berat naik masa mengandung  pun, takde la risau sangat. Bayangkan, kalau berat saya sekarang 60 kg, dan kemudian naik lagi 20kg macam trend mengandung sulung hari tu? huhuhu..ngerinya.

Ok, cukup dululah 5 sebab yang saya rasa sangat konkrit dan wajar untuk saya menurunkan berat badan. Nanti saya update dengan usaha, dan halangan dalam proses menurunkan berat badan ni pulak. Hasil? Belum berjaya lagi setakat ni, mudah-mudahan satu hari nanti berjaya juga.